Sarikei 01.10.2010 - Kebakaran yang berlaku di pusat bandar Sarikei itu memusnahkan sebuah bangunan lama yang dibina sekitar tahun 1930-an mengikut maklumat yang diberitahu oleh salah seorang pemilik premis berkenaan.
Bangunan dua tingkat yang menempatkan enam bahagian kedai yang menjalankan pelbagai jenis perniagaan itu musnah akibat kebakaran yang berlaku pada jam 9.43 malam kelmarin.
Antara premis perniagaan yang musnah ialah premis menjual motosikal, perabot, kedai telefon dan beberapa buah yang lain.
Pihak bomba telah bergegas ke tempat kejadian sebaik sahaja menerima panggilan daripada orang ramai mengenai perkara tersebut dan berjaya mengawal kebakaran pada jam 10.40 malam.
Dengan kecekapan anggota bomba serta kerjasama daripada pihak polis, anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA), Jabatan Pertahanan Awam dan orang ramai, kebakaran tersebut dapat dikawal dalam tempoh satu jam 37 minit.
Hasrat untuk membantu pihak bomba memadam kebakaran yang berlaku di pusat bandar Sarikei semalam bertukar menjadi tragedi yang malang kepada seorang pesara bomba yang baru bersara lebih kurang sebulan lepas.
Yii Yuk Seng, seorang pesara bomba yang menyaksikan kejadian kebakaran tersebut malam kelmarin cuba memberi bantuan di bahagian pili bomba tetapi telah jatuh pengsan.
Mangsa yang pengsan telah dibawa oleh orang awam ke Hospital Sarikei untuk mendapatkan rawatan tetapi disahkan meninggal dunia dan punca kematian Yii dipercayai akibat serangan penyakit jantung.
0 comments:
Post a Comment